IPOH, 19 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tuan Meor Ismail bin Meor Akim, ke atas Datuk Bandar Ipoh, Y.Bhg Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh di Bangunan MBI, Ipoh.
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara MBI dan NADMA, khususnya dalam aspek pengurusan bencana, kesiapsiagaan komuniti serta penyelarasan pelaksanaan program berkaitan keselamatan dan kesejahteraan awam di peringkat bandar raya.
Susulan kunjungan tersebut, satu mesyuarat turut diadakan bagi membincangkan persiapan penganjuran Program Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung di Ipoh, Perak pada 5 hingga 6 Oktober 2026.
Mesyuarat tersebut turut menyentuh persiapan bagi Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Tahun 2026 serta Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara (MBPN) Bilangan 1 Tahun 2026.
MBI bersama NADMA akan memainkan peranan penting sebagai penganjur bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program berkenaan. Program tersebut dijangka melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan beruniform, komuniti serta pemegang taruh berkaitan pengurusan bencana.
Penganjuran BKN Tahun 2026 di Ipoh merupakan satu peluang penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesiapsiagaan menghadapi bencana. Pada masa yang sama, ia turut berperanan memperkukuh koordinasi antara agensi dalam menangani sebarang situasi kecemasan secara lebih teratur, pantas dan berkesan.
MBI sentiasa komited dalam menyokong agenda pengurusan bencana negara, di samping memastikan keselamatan, kesejahteraan dan ketahanan komuniti bandar raya Ipoh terus diberi keutamaan.
Kerjasama erat antara MBI dan NADMA ini diharap dapat memperkukuh keupayaan tempatan dalam aspek pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana demi kesejahteraan warga bandar raya Ipoh.