Ipoh, 6 April 2026 – Puan Norazmah binti Rashid, Pengarah Balai Seni Negara Ipoh telah mengadakan kunjung hormat ke atas YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan strategik antara Balai Seni Negara Ipoh dan Majlis Bandaraya Ipoh, di samping membincangkan potensi kerjasama dalam memperkasa pembangunan seni visual serta aktiviti kebudayaan di bandar raya Ipoh.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pelaksanaan program seni komuniti, penganjuran pameran serta inisiatif yang mampu menarik penglibatan masyarakat setempat dan pelancong ke Ipoh sebagai destinasi seni dan budaya.
YBhg. Datuk Bandar Ipoh menyambut baik usaha kolaborasi ini dan menyatakan komitmen pihak MBI untuk terus menyokong pembangunan sektor seni sebagai salah satu pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
Kunjungan hormat ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dan berimpak tinggi antara kedua-dua pihak pada masa akan datang.