Ipoh, 24 September 2026-LAr Meor Abdullah Zaidi bin Meor Razali, Ketua Unit Bandar Ekonomi Donat dan Penyelidikan (KU EDP), telah menerima kunjungan hormat daripada The Centre for Knowledge & Understanding of Tropical Architecture & Interior (KUTAI) bagi meneroka potensi kerjasama strategik dan kolaborasi rentas agensi dalam bidang penyelidikan serta pembangunan bandar berteraskan kesejahteraan.
Kunjungan hormat ini merupakan kunjungan pertama KUTAI kepada KU EDP sejak pelantikan LAr Meor Abdullah Zaidi bin Meor Razali sebagai Ketua Unit Bandar Ekonomi Donat dan Penyelidikan, sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan jaringan strategik antara pihak berkuasa tempatan dan institusi berasaskan ilmu serta penyelidikan.
Sesi kunjungan turut disusuli dengan taklimat oleh Encik Muhammad Norman Fikri bin Muhamad Anhar, Penolong Pegawai Penyelidik, berhubung mandat dan fokus KU EDP, termasuk penerapan kerangka Ipoh Bandar Ekonomi Donat (Doughnut Economics City) serta pelaksanaan kajian Disaster Risk Reduction (DRR) dalam menyokong agenda pengurangan risiko bencana dan peningkatan daya tahan bandar.
Perbincangan turut memberi penekanan terhadap potensi perkongsian kepakaran, pengetahuan dan kapasiti penyelidikan antara KUTAI dan KU EDP, khususnya dalam aspek kesejahteraan bandar, konservasi warisan, daya tahan bandar serta perancangan pembangunan yang mampan dan inklusif.
KU EDP mengalu-alukan potensi kolaborasi rentas agensi dan akan terus memperkukuh jaringan strategik bersama institusi penyelidikan serta pemegang taruh berkaitan. Usaha ini akan diselaraskan secara berterusan agar agenda dan tindakan penyelidikan yang dilaksanakan selari dengan gagasan serta aspirasi yang telah diilhamkan oleh YBhg. Datuk Bandar Ipoh, di samping menyokong hala tuju pembangunan negeri sebagaimana yang digariskan melalui agenda Perak Sejahtera. Pendekatan berasaskan ilmu, penyelidikan dan bukti ini diharap dapat memperkukuh perancangan serta penyampaian pembangunan bandar ke arah Ipoh yang lebih sejahtera, berdaya tahan, mampan dan berdaya huni.