Ipoh, 25 Jun 2026 – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan Kursus Protokol dan Adat Istiadat Diraja Perak bertempat di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak pada hari ini.
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman peserta berhubung tatacara protokol, adat istiadat Diraja Perak serta pengurusan majlis rasmi kerajaan.
Kursus ini turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Antara pengisian utama kursus ialah sesi Pengenalan Umum Tentang Protokol yang disampaikan oleh YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, Ahli Dewan Negara Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Dewan Negara Berhubung Majlis Penasihat Protokol Negeri Perak.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada Sistem Kesultanan Negeri Perak dan Adat Istiadat Istana Perak oleh YDH Toh Amar Seri Diraja Dato’ Seri Ayop bin Hashim, Setiausaha Dewan Negara Perak, serta sesi Elemen Pengurusan Majlis oleh Encik Azahari Effendy bin Abd Rahim, Ketua Protokol dan Istiadat Perak.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan penjawat awam dan pihak berkaitan sentiasa memahami, menghayati serta mengamalkan protokol rasmi dan adat istiadat negeri dengan tertib, tepat dan berhemah.
Program seumpama ini juga diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan majlis rasmi kerajaan, sekali gus memelihara kemuliaan institusi Diraja Perak serta imej pentadbiran negeri.