Kuala Kangsar, 16 November 2025-Hujan renyai dan cuaca mendung tidak menghalang kemeriahan Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2025 dengan penyertaan lebih 9,500 peserta.
Peserta pelbagai peringkat usia hadir seawal pukul 5. 00 pagi dengan ada dalam kalangan mereka mencuri perhatian apabila tampil dengan kostum anime, baju tradisional, pakaian sekolah serta watak Husin dari filem Hantu Kak Limah.
Kemeriahan acara itu turut diserikan dengan keberangkatan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan berangkat mencemar duli ke acara berprestij ini.
Turut berangkat, DYAM Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak. YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, turut hadir memberi sokongan kepada program kecergasan dan perpaduan ini.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan menyempurnakan upacara pelepasan 5,000 peserta bagi kategori 15 kilometer dan 4,500 peserta untuk larian 10 kilometer dan tujuh kilometer.
Seterusnya, pelepasan peserta Kategori VIP disempurnakan oleh YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, melibatkan Kategori VIP A (pergerakan ke Dataran Kota Lama Kanan) dan Kategori VIP B (pergerakan ke Laman Budaya).
DYMM Paduka Seri Sultan Perak kemudian berkenan meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama rakyat di Laman Budaya menyaksikan demonstrasi dan pameran aset oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta reruai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pelbagai pameran dan persembahan diadakan sepanjang trek larian peserta membabitkan kawasan kampung sekitar Mukim Sayong dan Kota Lama Kanan dan Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.
Antaranya, permainan tradisional gasing dan sepak raga, demonstrasi labu sayong, persembahan rebana, gendang Cina dan India serta stesen kuih-muih.