Ipoh, 4 Ogos 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung dengan suasana mesra dan santai.
Delegasi seramai 25 orang itu diketuai oleh Yang Dipertua MDKpr, Encik Ahmad Suqairy bin Alias, dan disambut mesra oleh Puan Normala binti Latiff, Pengarah Khidmat Pengurusan Bandaraya MBI. Lawatan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan strategik serta perkongsian ilmu dan pengalaman, khususnya berkaitan pelaksanaan Pengurusan Pelancongan di Tasik Cermin, Ipoh.
Tasik Cermin, yang terletak di kawasan Gunung Rapat, merupakan sebuah tasik semula jadi yang terbentuk daripada runtuhan gua batu kapur hasil tinggalan aktiviti kuari yang tidak lagi beroperasi. Keunikan tasik ini terletak pada kejernihan airnya serta pemandangan dramatik tebing batu kapur yang menjulang tinggi, menjadikan lokasi ini antara destinasi pelancongan eko yang semakin mendapat perhatian ramai.
Sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan, delegasi turut dibawa melawat ke Tasik Cermin 2, satu lagi tarikan pelancongan baharu di kawasan tersebut yang menampilkan pengalaman unik menyusuri terowong air sepanjang 130 meter, menjadikan ia tarikan eksklusif yang jarang ditemui di tempat lain.
MBI amat menghargai lawatan seumpama ini yang menjadi platform penting bagi pertukaran idea, pemindahan pengetahuan serta perkongsian amalan terbaik antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Inisiatif ini diyakini dapat memberi impak positif kepada usaha berterusan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh kerjasama antara agensi demi kesejahteraan rakyat.
Majlis turut diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan pertukaran cenderahati antara kedua-dua pihak sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama yang erat dan berterusan.