Ipoh, 11 September 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung dengan suasana mesra dan santai.
Delegasi seramai 30 orang itu diketuai oleh Pegawai Teknologi Maklumat MPT, Tuan Ali Mohamad Samad serta 17 orang Ahli Majlis MPT, dan disambut mesra oleh YBhg Clr. Lawrence a/l R. Palanisamy, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh. Lawatan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan strategik serta perkongsian ilmu dan pengalaman, khususnya berkaitan pelaksanaan Pengurusan Smart City dan Pengurusan Sisa Pepejal.
Lawatan telah dimulakan dengan sesi taklimat di Ipoh Integrated Operation Center (IIOC) yang disampaikan oleh En Abdul Afiq bin Muhammad Penolong Pengarah Perancangan Bandar MBI, yang berkongsi berkenaan perancangan jangka panjang MBI dalam memperkukuh Pengurusan Smart City serta pendekatan konseptual yang digunakan dalam membangunkan ekosistem kerja yang lebih sistematik dan kondusif. IIOC merupakan pusat kawalan operasi pintar yang menjadi antara nadi utama kepada pengurusan bandar di Ipoh.
Dalam pada itu, satu lawatan ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal telah diadakan dan taklimat telah disampaikan oleh Ts. Nur Aifa Farihah binti Mad Nor, Penolong Pengarah Kanan Kerja Awam (Projek dan Penyelenggaraan).
MBI amat menghargai lawatan seumpama ini yang menjadi platform penting bagi pertukaran idea, pemindahan pengetahuan serta perkongsian amalan terbaik antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Inisiatif ini diyakini dapat memberi impak positif kepada usaha berterusan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh kerjasama antara agensi demi kesejahteraan rakyat.
Majlis turut diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan pertukaran cenderahati antara kedua-dua pihak sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama yang erat dan berterusan.