Aktiviti & Berita

LAWATAN KERJA YB TUAN NGA KOR MING, MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN KE BANDARAYA IPOH, PERAK

Ipoh, 2 Januari 2026 – YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Bandaraya Ipoh bagi mengumumkan serta meninjau pelaksanaan beberapa projek penaiktarafan kemudahan awam yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi peruntukan KPKT.

Turut hadir ialah YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, YB Jenny Choy Tsi Jen, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan; Tuan Haji Mansor bin Mohamad, Ketua Pengarah, Jabatan Landskap Negara; YB Tuan Ong Boon Piow, ADUN Bercham, ADUN-ADUN, Ahli Majlis, serta Ketua Jabatan dan Ketua Unit MBI.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang menegaskan komitmen MBI untuk memastikan pembangunan Bandaraya Ipoh terus berjalan lancar dan mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Bestari Sejahtera.

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kemudahan awam di peringkat pihak berkuasa tempatan sentiasa berada pada tahap yang selesa, selamat dan berfungsi secara optimum demi kesejahteraan komuniti setempat.

Lawatan kerja YB Menteri dimulakan dengan peninjauan Projek Menaiktaraf Jalan Medan Ipoh 6, Bandar Medan Ipoh yang telah siap sepenuhnya pada 31 Disember 2025.

Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki berkonsepkan concrete imprint, penanaman pokok-pokok hiasan serta pembinaan semula jalan raya, dengan kos keseluruhan sebanyak RM792,028.00 di bawah peruntukan KPKT BP1.

Pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan pejalan kaki, khususnya semasa penganjuran aktiviti pasar malam, di samping menyokong fungsi kawasan tersebut sebagai ruang awam yang lebih teratur, selamat dan mesra pengguna.

Dalam lawatan yang sama, YB Menteri turut mengumumkan pelaksanaan Projek Menaiktaraf Pasar Awam Bercham, Ipoh yang dibiayai melalui peruntukan KPKT BP1 dengan kos keseluruhan berjumlah RM481,518.00.

Projek ini merangkumi kerja-kerja pemasangan dan penaiktarafan siling serta penurapan semula sebahagian kawasan pasar. Projek ini telah bermula pada 10 Disember 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 April 2026, dengan objektif untuk meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan persekitaran pasar demi kemudahan peniaga serta pengunjung.

Seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan lebih banyak ruang rekreasi dan kawasan hijau awam, YB Menteri turut meninjau pelaksanaan Projek Taman Rekreasi Madani (TRM) Taman Tasek Jaya, Ipoh.

Projek ini telah mula dilaksanakan pada 29 November 2024 dan siap sepenuhnya pada 21 march 2025, dengan tempoh pelaksanaan selama 16 minggu serta kos peruntukan berjumlah RM450,000.00.

Sama seperti pembangunan TRM lain di sekitar Bandaraya Ipoh, TRM Taman Tasek Jaya telah dibangunkan dan dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan termasuk alatan permainan kanak-kanak, alatan senaman outdoor gym, ruangan plaza terbuka serta perabot taman seperti bangku dan ruangan rehat berbumbung.

Projek ini turut melibatkan penaiktarafan laluan pejalan kaki serta penyediaan sistem pencahayaan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat dalam menjalankan aktiviti rekreasi dan riadah.

Selain itu, YB Menteri turut meninjau Projek Menaiktaraf Pasar Kampung Tawas, Ipoh yang telah siap sepenuhnya pada 3 Jun 2025, dengan Majlis Bandaraya Ipoh bertindak sebagai agensi pelaksana. Projek ini merangkumi kerja-kerja penaiktarafan lantai dan meja di bahagian sayur-sayuran, ikan dan ayam, serta kerja-kerja pembaikan dan pemasangan bumbung di beberapa zon utama pasar termasuk kawasan khinzir, ayam, sayur-sayuran dan pasar utama.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan kemudahan pasar berada dalam keadaan yang lebih selamat, bersih dan berfungsi dengan baik demi keselesaan peniaga serta pengguna.

Lawatan kerja YB Menteri diakhiri dengan peninjauan Projek Pemasangan Panel Akustik dan Kerja-Kerja Berkaitan di Dewan Kampung Tawas, Ipoh yang telah diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM182,016.00.

Projek ini telah bermula pada 2 Julai 2025 dan siap sepenuhnya pada 27 Ogos 2025, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan serta kualiti akustik dewan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sosial dan pentadbiran penduduk setempat.

YB Menteri menegaskan bahawa KPKT akan terus komited dalam menyalurkan peruntukan bagi menyokong usaha pihak berkuasa tempatan dalam menaik taraf dan menyelenggara kemudahan awam, khususnya pasar awam, taman rekreasi dan dewan komuniti yang merupakan nadi kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat.

Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan projek-projek ini akan memberikan manfaat jangka panjang kepada komuniti di Bandaraya Ipoh serta menyumbang ke arah persekitaran bandar yang lebih selesa, selamat dan berdaya huni.

605906140 1262519035900614 4068000701915290446 N
606025926 1262519065900611 3822858200211267138 N
607501702 1262519089233942 8690482433670247652 N
607957190 1262519059233945 3842375965016573196 N
608904006 1262519025900615 6714308582602436118 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan
  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 06/06/2026.
  • Jumlah Pelawat 6313061