19 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menerima kunjungan delegasi daripada Majlis Daerah Kampar (MDK) bagi sesi lawatan penanda aras berkaitan pelaksanaan dan penggunaan Sistem MyPerolehan.
Lawatan ini diketuai oleh Ts. Rozzilla binti Mohamad Som, Pegawai Tadbir (Jurutera), Majlis Daerah Kampar. Lawatan ini diadakan susulan hasrat Majlis Daerah Kampar untuk menambah baik sistem pengurusan perolehan dalaman dengan meninjau sendiri tatacara, pengoperasian serta keberkesanan penggunaan Sistem MyPerolehan yang dilaksanakan di Majlis Bandaraya Ipoh.
Objektif utama lawatan tersebut adalah untuk mempelajari aliran kerja dan modul utama Sistem MyPerolehan, mendapatkan panduan praktikal mengenai penggunaan sistem secara optimum serta bertukar pandangan dan pengalaman dalam menangani cabaran teknikal yang dihadapi dalam pengurusan perolehan elektronik.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Ts. Abdul Rasef bin Abdul Rani, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan (Teknologi Maklumat) dan Encik Mohd Shahrin bin Nordin, Penolong Ketua Unit Ukur Bahan dan Perolehan MBI.
Sesi perkongsian dan perbincangan yang berlangsung turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi amalan terbaik serta cadangan penambahbaikan ke arah memperkukuh pengurusan perolehan secara digital.
Semoga lawatan ini dapat mengeratkan hubungan kerjasama antara Majlis Daerah Kampar dan Majlis Bandaraya Ipoh serta menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam memperkasakan agenda pendigitalan perkhidmatan awam.