Ipoh, 19 Jun 2025 – Seramai 32 murid Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh (SK RPS) bersama Guru Besar, para guru serta Ahli Jawatankuasa PIBG telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Konti Radio TV MBI pagi tadi.
Rombongan lawatan tersebut diketuai oleh Puan Muszalipah binti Ahmad Yahya, Guru Besar SK RPS.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai fungsi dan operasi Radio TV MBI yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Syahrizal bin Azmi, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Ipoh merangkap Pengurus Radio TV MBI, bertempat di Bilik Gerakan MBI. Para pelajar turut berpeluang melawat Dewan Mesyuarat MBI.
Kemuncak lawatan adalah sesi lawatan ke dalam Konti Radio TV MBI, di mana Puan Muszalipah binti Ahmad Yahya, Guru Besar,
Puan Nurhajira binti Abdul Rahman, guru, adik Nur Amni Zulaikha binti Mohd Asri dan adik Nur Husna Safiyyah binti Fadzril Reza, murid SK RPS telah dijemput sebagai tetamu istimewa dalam sesi temu bual secara langsung bersama DJ Farah dan DJ Izman. Mereka berkongsi pengalaman serta harapan terhadap lawatan ini di udara.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid-murid tentang dunia penyiaran dan pengurusan media, di samping meningkatkan pengetahuan am serta keyakinan diri mereka.
Pihak Radio TV MBI mengalu-alukan kehadiran lawatan sebegini yang secara tidak langsung membantu mempromosikan saluran media MBI serta memperkukuh hubungan dengan komuniti pendidikan tempatan.