Ipoh, 20 Julai 2026 – Dataran Bandaraya Ipoh bergema dengan sorakan lebih 10,000 peminat bola sepak yang hadir seawal pagi bagi menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina.
Perlawanan yang berlangsung penuh dramatik dan mendebarkan itu menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina dengan keputusan 1-0, sekali gus dinobatkan sebagai juara kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia tersebut.
Sejak awal pagi, kawasan Dataran Bandaraya Ipoh dipenuhi lautan penyokong yang hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan bagi memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
Sorakan gemuruh, tepukan serta reaksi penuh debaran sepanjang perlawanan berjaya menghidupkan suasana seolah-olah para pengunjung berada di stadium sebenar.
Sebahagian pengunjung turut membawa tikar dan kerusi bagi menikmati perlawanan dalam suasana santai, selesa serta penuh dengan semangat kesukanan dan kebersamaan.
Program berkenaan telah diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Turut hadir ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh dan Clr. Encik Muhammad Hamzah bin Dato’ Haji Md. Hamdan, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh merangkap Penyelaras Program.
Hadir sama ialah barisan Ahli Majlis MBI, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, Setiausaha Bandaraya, ketua-ketua jabatan Majlis Bandaraya Ipoh, para penaja, rakan strategik, legenda-legenda bola sepak negeri Perak, rakan-rakan media serta warga kerja MBI.
Sebagai tanda penghargaan, YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan telah menyampaikan sijil penghargaan kepada para penaja serta hadiah kepada lima orang pengunjung bertuah menerusi acara cabutan bertuah yang diadakan pada waktu rehat perlawanan.
Selain menyaksikan perlawanan akhir, YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan turut meluangkan masa mengunjungi reruai-reruai pameran serta menyertai sesi ramah mesra atau Meet & Greet bersama legenda-legenda bola sepak negeri Perak.
Penganjuran tayangan skrin besar oleh Majlis Bandaraya Ipoh ini berjaya menghimpunkan warga kota daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang harmoni, ceria dan penuh semangat kekeluargaan.
Kehadiran luar biasa lebih 10,000 pengunjung membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar sukan, malah mampu menjadi medium yang menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan latar belakang.
Program ini turut mencerminkan komitmen Majlis Bandaraya Ipoh dalam menyediakan aktiviti berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan hiburan dan riadah, malah memperkukuh perpaduan, keharmonian serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga kota.
Satu Bandar, Satu Semangat, Satu Sorakan!
#MajlisBandarayaIpoh#DataranBandarayaIpoh#SkrinBesar#PialaDuniaFIFA2026#ArgentinaVsSepanyol#IpohBestariSejahtera