Ipoh, 16 Julai 2026 – Lebih 2,000 peminat bola sepak membanjiri Dataran Bandaraya Ipoh seawal pagi bagi menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan England.
Perlawanan yang berlangsung penuh mendebarkan itu menyaksikan Argentina berjaya menewaskan England dengan keputusan tipis 2-1, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada para penyokong yang hadir.
Suasana di Dataran Bandaraya Ipoh bertambah meriah apabila warga kota hadir bersama keluarga dan rakan-rakan dengan membawa tikar serta kerusi bagi menikmati perlawanan dalam suasana santai, selamat dan penuh semangat kesukanan.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Turut hadir Tuan Mohamad Hamidi bin Baharuddin, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Clr. Encik Muhammad Hamzah bin Hamdan, Ahli Majlis MBI merangkap Pengerusi Program; Clr. Lam Yew Tact; Clr. Ts. Alyph; Clr. Encik Yusyafizal bin Mohd Yusop, Ahli Majlis MBI serta Ketua Jabatan Majlis Bandaraya Ipoh.
Sebagai tanda penghargaan kepada para pengunjung, seramai 15 orang pengunjung bertuah telah menerima hadiah menerusi acara cabutan bertuah.
Hadiah-hadiah berkenaan telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh bersama Tuan Mohamad Hamidi bin Baharuddin, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Penganjuran tayangan skrin besar oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini bukan sahaja memberi peluang kepada peminat bola sepak menyaksikan aksi bertaraf dunia secara beramai-ramai, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan, memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
MBI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kota Ipoh yang hadir serta bersama-sama memeriahkan program berkenaan.
Satu Bandar, Satu Semangat, Satu Piala Dunia!
#MajlisBandarayaIpoh#DataranBandarayaIpoh#SkrinBesar#PialaDuniaFIFA2026#ArgentinaVsEngland#IpohBestariSejahtera