Ipoh, 12 Jun 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Ceramah Khas sempena Sambutan Ulang Tahun ke-37 Bandaraya Ipoh yang telah berlangsung pada malam tadi di Masjid Al-Ansar, Halaman Meru Impian.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan solat Maghrib secara berjemaah, disusuli dengan ceramah khas bertajuk “Implikasi Hijrah Rasulullah: Pembentukan Bandar Islam Pertama” yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Al-Fadhil Ustaz Muhammad Izzat Syafiq bin Mohammed Tarmizi, Pegawai Fatwa, Ketua Unit Istinbat dan Penerangan, Jabatan Mufti Negeri Perak. Majlis diteruskan dengan solat Isyak berjemaah.
Ia turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan serta pegawai dan anggota MBI.
Penganjuran majlis ini merupakan salah satu pengisian rohani bersempena sambutan ulang tahun bandaraya, yang bertujuan untuk menyemai nilai-nilai Islam, memperkukuh ukhuwah, serta membina keinsafan dalam kalangan warga kerja dan masyarakat setempat.