Ipoh, 10 Jun 2025 – Sebanyak lima ekor lembu telah ditumbangkan dalam Majlis Ibadah Qurban anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam MBI (PERKIP), yang berlangsung pagi ini di Taman Dr Seenivasagam, Ipoh.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu telah dijalankan secara gotong-royong dengan penglibatan seramai 200 anggota MBI. Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat kebersamaan serta menyuburkan nilai-nilai murni dalam kalangan warga kerja MBI.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Y.Bhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, Y. Bhg. Dato' Haji Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli-Ahli Majlis MBI, Setiausaha Bandaraya, Pengarah-Pengarah Kanan, Ketua-ketua Jabatan serta para anggota MBI.
Y.Bhg. Datuk Bandar Ipoh turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Daging Qurban kepada para petugas dan anggota MBI.
Penganjuran Majlis Ibadah Qurban ini diharap dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, memupuk semangat perpaduan dan keharmonian, serta memperkukuhkan hubungan silaturrahim dalam kalangan warga kerja MBI. Ia juga menjadi medan untuk melahirkan rasa syukur atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh-Nya.