Kuala Kangsar, 7 November 2025 – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, serta Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, telah berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah Tahun 2025, yang diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Majlis yang bermula sekitar jam 12.30 tengah hari itu dihadiri lebih 500 orang jemaah yang hadir bagi bersama-sama menzahirkan rasa syukur serta mendoakan kesejahteraan dan keberangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
Turut hadir, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; dan YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak.
Turut hadir sama, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YDH Toh Maharaja Indera Dr. Haji Khairil Anuar bin Arshad, Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk); YBhg. Dato' Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk); serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh AF Ustaz Badrul Husaini bin Baharudin, Imam Utama Masjid Ubudiah. Beliau turut menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk “Keadilan Raja – Kasih Rakyat: Tunjang Kemakmuran Negeri” yang menekankan kepentingan keadilan raja pemerintah serta kasih rakyat dalam memperkukuh persefahaman dan kesetiaan terhadap institusi diraja.
Usai khutbah, DYTM Raja Muda Perak dan DYAM Raja DiHilir Perak berkenan menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah yang diimamkan oleh AF Ustaz Syed Hazwan bin Syed Azmai, Imam Kedua Masjid Ubudiah.
Sebagai tanda kasih dan kesyukuran rakyat terhadap pemerintah negeri, majlis kesyukuran seumpama ini turut diadakan secara serentak di semua masjid daerah di seluruh negeri Perak, diketuai oleh Orang Besar-Orang Besar Negeri serta Pegawai Daerah masing-masing.