Meru, 15 Ogos 2025 – YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung meriah di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, malam ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan EXCO Kerajaan Negeri, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu kebesaran Negeri Perak, diikuti bacaan ikrar serta persembahan selamat datang. Seterusnya, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak sebelum majlis dirasmikan oleh YAB Menteri Besar.
Pelancaran diserikan dengan gimik perasmian, persembahan lagu patriotik Jalur Gemilang, pelepasan konvoi kenderaan, serta acara Night Walk yang disertai masyarakat pelbagai lapisan. Persembahan artis tempatan kemudiannya menjadi penutup tirai majlis pada malam penuh makna ini.
Program ini bukan sahaja menjadi simbol semangat patriotisme, malah turut mencerminkan perpaduan dan kecintaan rakyat Perak terhadap negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan.