Bagan Datuk, 20 November 2025 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) di Bagan Datuk hari ini.
Turut berangkat mengiring Duli Tuanku ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim. Turut berangkat sama, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, serta DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir; dan Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Dalam majlis penuh istiadat itu, baginda berkenan melafazkan pemasyhuran serta menandatangani plak perasmian sebelum berangkat melawat ruang pameran yang memaparkan pembangunan akademik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), inovasi teknologi maritim serta projek-projek pelajar.
Hadir sama, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang turut memeriahkan majlis bersejarah berkenaan.
PMSN yang merupakan politeknik ke-35 negara ditubuhkan pada Disember 2016 dengan visi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim. Pengambilan sulung pelajar pada tahun 2017 melalui program Diploma Seni Bina Kapal menjadikan PMSN satu-satunya politeknik TVET yang memfokuskan bidang maritim dan perkapalan di Malaysia.