Ipoh, 25 Jun 2025 – YDH Toh Amar Pahlawan Dato' Ahmad Hariri bin Kamarudin, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelancongan, Seni Budaya dan Warisan MBI, telah mewakili Datuk Bandar Ipoh merasmikan Majlis Pembukaan Semula AEON Mall Ipoh Station 18 yang berlangsung pagi tadi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan pengurusan tertinggi AEON Co. (M) Bhd, antaranya Encik Nik Mohd Fahmee bin Nik Hussian, Ketua Komunikasi Korporat, Encik Kamarulzaman bin Jaafar, Pengurus Kanan Wilayah Utara, Encik Badrol bin Sharif, Pengurus Wilayah Utara, Puan Audrey Lim, Ketua Pegawai Operasi Bersama (Peruncitan); Encik Hidekazu Iwaoka, Ketua Pegawai Dagangan; serta Encik Mohd Syahrizal bin Azmi, Pegawai Perhubungan Awam MBI.
AEON merupakan antara jenama peruncitan terkemuka di Malaysia, dengan kehadiran yang meluas di seluruh negara. AEON Mall Ipoh Station 18 yang mula beroperasi sejak Mac 2012 kini tampil dengan wajah baharu selepas melalui kerja pengubahsuaian menyeluruh sempena ulang tahun ke-13 penubuhannya.
Pengubahsuaian ini dijangka akan meningkatkan daya tarikan AEON Mall Ipoh Station 18, sekali gus memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih segar dan moden kepada komuniti setempat. Sebanyak 19 jenama baharu telah diperkenalkan dalam fasa penambahbaikan ini, antaranya:
91 Pickleball – kemudahan sukan pickleball pertama yang diperkenalkan di pusat beli-belah di negeri Perak;
iMuscle Fitness – pusat kecergasan moden bagi pengunjung yang mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AEON atas usaha penaiktarafan ini yang memberi impak positif kepada landskap ekonomi tempatan. Warga Ipoh juga menantikan pembukaan semula medan selera AEON yang sedang dalam proses pengubahsuaian, serta perkembangan projek pengembangan AEON Kinta City yang dijangka bermula tidak lama lagi.
Sebagai sebahagian daripada komitmen MBI dalam memperkasa pembangunan ekonomi bandar, beberapa inisiatif strategik telah dikenal pasti di bawah 18 Program Flagship Agenda Perak Sejahtera 2030. Antaranya:
Flagship ke-15: Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027 – menjadikan Ipoh sebagai perintis kepada konsep ekonomi yang mengimbangi pertumbuhan dan kelestarian alam sekitar, sebagaimana dilaksanakan di bandar-bandar utama seperti Amsterdam, Brussels dan Berlin;
Flagship ke-16: SMART Perak – Ipoh Smart City 2030 – memacu pembangunan berasaskan teknologi untuk menjadikan sistem pengurusan bandar lebih efisien dan mesra rakyat.
Majlis Bandaraya Ipoh sentiasa terbuka serta menyokong penuh segala usaha dan inisiatif yang mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan warga bandar raya ini.