Ipoh, 14 Ogos 2026 (Jumaat) – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengadakan Majlis Penyerahan Pulang Peserta Program Pertukaran Pelajar pada hari ini bertempat di hadapan Dewan Mesyuarat, Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh.
Majlis yang berlangsung pada jam 8.30 pagi itu telah disempurnakan oleh Puan Kasturi a/p Murugiah,
Penolong Pengarah Kanan Perkhidmatan Komuniti,
Jabatan Perkhidmatan Komuniti dan Kemasyarakatan MBI.
Program pertukaran pelajar ini merupakan satu inisiatif yang memberi peluang kepada para peserta untuk menimba pengalaman baharu, memperluas pengetahuan serta meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya, kehidupan bermasyarakat dan persekitaran pembelajaran yang berbeza.
Penganjuran program seumpama ini turut menjadi wadah dalam membentuk generasi muda yang lebih berkeyakinan, berfikiran terbuka dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran yang pelbagai. Pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai program tersebut diharap dapat dimanfaatkan oleh para peserta dalam pembentukan sahsiah, kepimpinan serta kecemerlangan akademik pada masa hadapan.
Majlis penyerahan pulang ini menandakan berakhirnya penyertaan para pelajar dalam program berkenaan sebelum mereka berangkat pulang ke Fukuoka, Jepun selepas selesai menjalani keseluruhan aktiviti yang telah dirancang.
MBI merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program ini, khususnya keluarga angkat, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan sekolah angkat serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Semoga jalinan kerjasama dan hubungan yang terbina menerusi program pertukaran pelajar ini dapat terus diperkukuh serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk memperoleh pengalaman pembelajaran dan pendedahan di peringkat antarabangsa.