Ipoh, 10 November 2025 – Y.Bhg. Tuan Zamakhshari Bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menyampaikan sijil penarafan dan penilaian premis Gred A kepada Encik Abul Kalam bin Sahul Hamid, Pengurus Begum’s Restaurant & Café, Pusat Perdagangan Canning 2 pada pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh YBhg. Clr. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman, Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis dan Ketua Jabatan MBI.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam memastikan tahap kebersihan serta keselamatan makanan di premis-premis berlesen sentiasa berada pada standard tertinggi.
MBI menjalankan pemantauan secara berkala terhadap semua premis makanan yang dilesenkan di bawah pentadbirannya. Langkah ini diambil bagi memperluaskan pengiktirafan Pensijilan Gred A kepada pengusaha restoran, kafe dan gerai makan di seluruh kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh.
Sehingga Oktober 2025, sebanyak 1,354 premis makanan telah mencapai pengiktirafan Pensijilan Gred A daripada jumlah 3,600 premis makanan berlesen. Ini bersamaan dengan 37.6% daripada keseluruhan premis makanan yang dilesenkan.
MBI komited untuk meningkatkan pencapaian ini kepada 50% menjelang tahun 2026, melalui pelaksanaan pemeriksaan dan penggredan secara rutin yang lebih menyeluruh.
Sijil pengiktirafan Gred A sah untuk tempoh dua (2) tahun dari tarikh dikeluarkan. Bagi premis yang ingin memperbaharui sijil, permohonan boleh dibuat di Tingkat 5, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Ipoh.
Pegawai yang diberi kuasa akan menjalankan pemeriksaan semula berdasarkan Borang Penilaian dan Penggredan Premis Makanan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT).
Premis perlu mencapai tahap penilaian kebersihan 86% dan ke atas untuk melayakkan diri menerima pengiktirafan semula. Penilaian Gred A mengambil kira tahap kebersihan premis dan tandas berkonsepkan Bersih, Menawan dan Wangi (BMW). Selain itu, premis juga perlu menyediakan dokumentasi seperti rekod suntikan anti-typhoid bagi semua pengendali makanan, menyertai kursus pengendalian makanan, melaksanakan pemasangan alat perangkap minyak (grease trap) serta menjalankan kawalan serangga perosak (pest control) secara berkala.
Pengiktirafan ini memberi pelbagai manfaat, antaranya menjamin kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan yang lebih terjalin, meningkatkan imej industri gastronomi tempatan serta menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Selain itu, pengusaha premis makanan yang mencapai standard ini turut menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan bandar raya Ipoh sebagai “Ipoh Bandar Pelancongan Utama Negara 2025”, sejajar dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
Majlis Bandaraya Ipoh mengalu-alukan penyertaan semua pengusaha premis makanan untuk mendapatkan pengiktirafan Pensijilan Gred A demi memastikan kebersihan dan kualiti makanan yang terbaik kepada masyarakat.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada:
Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan
Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran
Majlis Bandaraya Ipoh
Telefon: 05-2083290 / 05-2083289