Aktiviti & Berita

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN PESERTA YOUTH EXCHANGE PROGRAM 2025 (IPOH – FUKUOKA STUDENT EXCHANGE)

Ipoh, 19 November 2025 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, hari ini menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada lapan (8) orang peserta Youth Exchange Program 2025 (Ipoh – Fukuoka Student Exchange).

Majlis yang berlangsung di Dewan Azlan Shah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini menghimpunkan para pelajar terpilih bersama dua (2) orang pegawai pengiring yang bakal berlepas ke Fukuoka sebagai duta kecil Bandaraya Ipoh. Penyertaan mereka mencerminkan usaha berterusan MBI dalam memupuk hubungan antarabangsa yang erat antara Ipoh dan Fukuoka.

Dalam ucapan beliau, Datuk Bandar menzahirkan ucapan tahniah kepada para peserta yang berjaya terpilih serta merakamkan penghargaan kepada pihak urusetia yang komited memastikan kelancaran program ini. Beliau turut menegaskan kepentingan hubungan bandar raya berkembar yang telah terjalin lebih tiga dekad antara Ipoh dan Fukuoka.

Hubungan bandar raya berkembar antara kedua-dua bandar ini dimeterai pada 21 Mac 1989 menerusi perjanjian yang ditandatangani oleh Datuk Bandar Ipoh pertama, YBhg. Datuk Haji Umar bin Haji Abu, bersama Datuk Bandar Fukuoka ketika itu, Mr. Keiichi Kuwahara. Kerjasama ini menjadi pemangkin kepada pertukaran budaya, pendidikan, ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi, serta sukan antara rakyat Malaysia dan Jepun.

Youth Exchange Programme dahulunya dikenali sebagai Sister City Student Exchange—dilaksanakan secara bergilir setiap tahun antara Ipoh dan Fukuoka. Bagi tahun 2025, Fukuoka menjadi tuan rumah penganjuran program.

Datuk Bandar Ipoh turut menekankan bahawa program seumpama ini adalah platform penting dalam memupuk semangat perpaduan, keterbukaan budaya global dan pembentukan jati diri generasi muda.

“Saya amat berbangga melihat komitmen para pelajar yang bakal menjadi wakil Bandaraya Ipoh. Semoga mereka dapat menimba ilmu, pengalaman dan memahami budaya masyarakat Jepun dengan lebih mendalam,” ujar beliau.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Bandar Raya Fukuoka atas kerjasama berterusan serta penerimaan peserta pada tahun ini. Turut didoakan agar semua pelajar dan pegawai pengiring berangkat dan kembali dengan selamat.

Majlis turut dihadiri oleh Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya; Tuan Haji Fakrul Nizam bin Pakhruddin, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak; Puan Anita Hanim binti Taharim, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ungku Omar selaku tenaga pengajar Kelas Bahasa Jepun;
Professor Zita binti Mohd Fahmi, Vice Chancellor, Quest International University (QIU); Ketua Jabatan dan Ketua Unit MBI, para pengetua dan wakil sekolah yang terlibat serta ibu bapa peserta.

Program Youth Exchange 2025 dijangka terus memperkukuhkan hubungan diplomatik rakyat-ke-rakyat antara Malaysia dan Jepun, di samping memberikan manfaat jangka panjang kepada sektor pendidikan dan pembangunan modal insan di Bandaraya Ipoh.

584425048 1230217565797428 4094024211864847143 N
584597043 1230217609130757 9044322842951534173 N
584975456 1230217469130771 1197545108378980928 N
585200882 1230217489130769 8857831139884186881 N
585408952 1230217622464089 6327293707937872961 N
585869589 1230217569130761 2010842396986690613 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan
  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 06/06/2026.
  • Jumlah Pelawat 6313294