Ipoh, 2 November 2025 (Ahad) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah mengadakan Majlis Perasmian Pasar Sementara Pasir Puteh dan Taman Rekreasi Madani (TRM) @ Boon Bak, yang telah disempurnakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Turut hadir ialah YB Jenny Choy Tsi Jen, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan; Encik Ahmad Syaharuddin bin Kamaruddin Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Landskap Negara; YB Tuan Howard Lee Chuan How, Ahli Parlimen Ipoh Timor; YB Tuan Goh See Hua, ADUN Pasir Pinji; ADUN-ADUN, Ahli Majlis, serta Ketua Jabatan dan Ketua Unit MBI.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang menegaskan komitmen MBI untuk memastikan pembangunan Bandaraya Ipoh terus berjalan lancar dan mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Bestari Sejahtera.
PASAR SEMENTARA PASIR PUTEH, IPOHPada 13 Februari 2024, Pasar Awam Pasir Puteh telah dilanda kebakaran besar yang memusnahkan hampir 90% struktur asal, termasuk sistem elektrik, mekanikal dan kemudahan asas. Kejadian tersebut menyebabkan operasi pasar terhenti sepenuhnya selama hampir tiga bulan, menjejaskan 86 peniaga serta aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Daripada 175 tapak gerai, hanya 25 tapak yang tidak terjejas. Antara kerosakan utama termasuklah struktur bumbung, pendawaian elektrik, perabot niaga, tandas awam, sistem saliran dan pagar keselamatan.
Bagi memastikan kesinambungan ekonomi dan kebajikan peniaga, Pasar Sementara Pasir Puteh telah dibina dengan objektif menyediakan kemudahan sementara yang selesa, bersih dan selamat, melibatkan lebih 26,000 penduduk Mukim Ipoh, Ulu Kinta serta 710,798 penduduk Bandaraya Ipoh (Sumber: Pejabat Daerah dan Tanah Kinta).
Projek pembinaan bermula pada 15 Oktober 2024 dan siap pada 29 Julai 2025, dengan tempoh pelaksanaan selama 9 bulan serta kos keseluruhan sebanyak RM1,425,000.00.
Sumber peruntukan berjumlah
RM1,425,000.00 ini, RM1,000,000.00 dari peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) manakala RM425,000.00 lagi dari peruntukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Skop projek merangkumi pemasangan Marquee Tent berukuran 30m x 35m (boleh digunakan semula); penyediaan ruang niaga mengikut kategori (barangan basah, kering, runcit dan makanan siap masak); pembinaan kemudahan awam seperti tandas, tempat letak kenderaan, sistem perparitan dan pencahayaan kawasan; serta penyediaan kelengkapan elektrik dan kemudahan sokongan lain bagi keselesaan peniaga dan pengunjung.
TAMAN REKREASI MADANI (TRM) @ BOON BAKPelaksanaan Taman Rekreasi Madani (TRM) merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan ruang hijau dan kawasan rekreasi awam yang inklusif.
Pada tahun 2024, MBI telah menerima peruntukan berjumlah RM5.4 juta daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membangunkan 12 kawasan TRM di sekitar Bandaraya Ipoh, dengan setiap taman menelan belanja sebanyak RM450,000.00. Projek ini bermula pada penghujung tahun 2024 dan siap sepenuhnya pada Julai 2025.
Bagi TRM @ Boon Bak, kerja-kerja pembinaan bermula pada 14 Oktober 2024 dan siap pada 3 Februari 2025, dengan tempoh pelaksanaan selama 16 minggu serta kos keseluruhan sebanyak RM450,000.00.
Kemudahan yang disediakan termasuk alat permainan kanak-kanak dan outdoor gym, laluan pejalan kaki serta trek jogging, perabot taman seperti bangku dan ruang rehat berbumbung; plaza terbuka untuk aktiviti komuniti; serta pembaikpulihan tiang gol dan penghadang keselamatan.
Objektif utama pembangunan TRM adalah untuk menyediakan ruang riadah dan rekreasi untuk semua lapisan masyarakat, menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, mengukuhkan jaringan sosial komuniti setempat serta melaksanakan pengindahan kawasan bagi meningkatkan keceriaan persekitaran.
Majlis Bandaraya Ipoh menyeru semua lapisan masyarakat agar menggunakan kemudahan TRM dengan penuh tanggungjawab, mengelakkan vandalisme, serta mendidik generasi muda menghargai harta awam.
Kerjasama semua pihak di rumah, sekolah, tempat awam mahupun dalam kepimpinan masyarakat amat penting bagi memastikan kemudahan awam ini kekal dalam keadaan baik dan dapat dinikmati oleh rakyat tanpa menanggung kos penyelenggaraan tambahan.
KPKT dan MBI kekal komited untuk terus melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti yang inklusif, mampan dan sejahtera, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.