Ipoh, 13 Ogos 2025 – Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, hari ini berkenan berangkat merasmikan Program Perak Pawsitive Initiative 2025 bagi Daerah Kinta, iaitu Kempen Pemandulan Anjing dan Kucing Bersubsidi, yang berlangsung di Dewan Bulan Sabit Merah, Ipoh.
Majlis turut dihadiri oleh YABhg. Datin Seri Aezer bin Zubin, Isteri YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan; YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak; serta YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Program ini dilaksanakan sebagai inisiatif memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap penjagaan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab, mengawal populasi haiwan terbiar, dan menggalakkan amalan pemandulan beretika melalui sokongan subsidi. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kebajikan haiwan, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta kelestarian persekitaran di Negeri Perak.