Ipoh, 16 Jun 2026 –Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO Perak telah berlangsung di Bandar Meru Raya hari ini.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan merasmikan Majlis tersebut.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa serta Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak.
Selain itu, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh turut hadir memeriahkan majlis tersebut.
Pusat rehabilitasi ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh perkhidmatan pemulihan berteknologi tinggi kepada pencarum PERKESO serta masyarakat yang memerlukan sokongan rehabilitasi khusus.
Penubuhannya turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa akses kepada rawatan pemulihan yang moden, inklusif dan berimpak tinggi.
Berteraskan pendekatan neuro-robotik dan sibernik, pusat ini dijangka berperanan sebagai hab rehabilitasi kebangsaan yang memberi tumpuan kepada pemulihan fungsi, peningkatan mobiliti serta penambahbaikan kualiti hidup pesakit, khususnya mereka yang mengalami kecederaan atau kehilangan upaya akibat kemalangan, penyakit atau keadaan kesihatan tertentu.
Sejurus selesai majlis perasmian, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan melawat kemudahan pusat rehabilitasi berkenaan.
Perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO Perak ini menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam pembangunan sektor rehabilitasi negara.
Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Perak sebagai antara negeri yang menyokong kemajuan perkhidmatan kesihatan, kebajikan dan perlindungan sosial berteraskan teknologi.