Kuala Lumpur, 12 Ogos 2025 – Majlis Perasmian ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) 2025, ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) 2025 dan Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) 2025 berlangsung dengan penuh meriah di Plenary Hall, Level 1, Kuala Lumpur Convention Centre.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur; diikuti ucapan oleh Dr. Bernadia Irawati Tjandradewi, Setiausaha Agung UCLG ASPAC; Ms. AnaClaudia Rossbach, Pengarah Eksekutif UN-Habitat; dan Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN. Sesi ini turut diserikan dengan persembahan oleh Koir Permata Seni.
Acara diteruskan dengan tayangan video persidangan serta penyampaian khas oleh perhimpunan pemegang taruh, sebelum ucaptama khas disampaikan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kemuncak majlis adalah ucaptama perasmian oleh YAB Dato’ Seri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II Malaysia, yang secara rasmi merasmikan ASUF, AGMF dan MGMAC 2025.
Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama barisan pemimpin bandar dari Malaysia dan negara-negara ASEAN, wakil kerajaan tempatan, dan pakar-pakar pembangunan bandar. Kehadiran mereka memperkukuh perbincangan strategik mengenai hala tuju pembangunan bandar di rantau negara-negara ASEAN yang lebih mampan.
Turut hadir ialah Ahli Majlis, Ketua Jabatan dan pegawai Majlis Bandaraya Ipoh. Forum ini menjadi platform utama untuk berkongsi amalan terbaik, memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta merangka inisiatif bersama bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat ASEAN.