IPOH, 7 Ogos 2026 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tapak Tugu Briged Utara PGA, Ulu Kinta, hari ini.
Ia turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan; Yang Dihormati Tan Sri Mohd Khalid bin Ismail, Ketua Polis Negara; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak; ketua-ketua jabatan serta para tetamu jemputan.
Turut hadir, Yang Berbahagia Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Terdahulu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Briged Utara PGA, sebelum berangkat ke lokasi majlis perasmian.
Majlis dimulakan dengan sembah ucapan alu-aluan oleh YDH Ketua Polis Negara sebelum DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyempurnakan perasmian Tugu Satria Perkasa Briged Utara PGA.
Perasmian tugu berkenaan menjadi simbol penghargaan terhadap jasa, pengorbanan, keberanian dan semangat keperwiraan warga Pasukan Gerakan Am dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan, keamanan serta kedaulatan negara.
Kehadiran Datuk Bandar Ipoh ke majlis tersebut turut mencerminkan hubungan erat serta kerjasama berterusan antara Majlis Bandaraya Ipoh, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi kerajaan dalam menjayakan program serta acara rasmi, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi di Bandar Raya Ipoh.