Ipoh, 16 Jun 2026-Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan telah menganjurkan Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1448H / 2026M sebagai tanda memperingati peristiwa agung hijrah Rasulullah SAW serta menghayati nilai perpaduan, pengorbanan dan kecemerlangan ummah malam ini.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa serta Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak.
Selain itu, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh turut hadir memeriahkan majlis tersebut.
Antara pengisian utama majlis ialah Zikir Asma’ Al-Husna, bacaan Al-Quran dan terjemahan, tayangan video penerima anugerah serta penyampaian hadiah kepada penerima anugerah sempena Sambutan Maal Hijrah.
Anugerah yang telah disampaikan termasuk Anugerah Al-Quba’ bagi Pengurusan Masjid Terbaik, Anugerah Al-Baqi’ bagi Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik, Anugerah Ikon Asnaf, Anugerah Siti Khadijah bagi Tokoh Wanita, Anugerah Saidina Ali bagi Tokoh Belia, Anugerah Saidina Abu Bakar bagi Tokoh Ar-Ridzuan serta Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H.
Penganjuran majlis ini diharap dapat menyemarakkan semangat hijrah dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh tekad bersama ke arah membina ummah yang lebih cemerlang, berdaya saing dan sejahtera.