Ipoh, 28 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh Tahun 2026 Bersamaan 1448H yang berlangsung di Bilik Gerakan, Tingkat 2, Bangunan MBI.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Tuan A’zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya, mewakili YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama YBhg. Dato’ Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis, Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan serta warga kerja MBI.
Penganjuran sambutan Maulidur Rasul ini merupakan antara usaha berterusan MBI dalam menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping menghayati sirah, perjuangan dan keperibadian Baginda sebagai panduan dalam kehidupan seharian serta pelaksanaan amanah sebagai penjawat awam.
Antara pengisian utama majlis ialah ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh AF Ustaz Mohammad Rais bin Adnan, Pensyarah Usuluddin Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan tajuk ceramah “Merdeka Jiwa, Mulia Akhlak: Mencontohi Rasulullah SAW”.
Ceramah berkenaan menekankan kepentingan membentuk jiwa yang merdeka, berakhlak mulia serta menjadikan sifat dan keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada agama, organisasi dan masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada Kumpulan INSIJAM, yang membawa maksud semangat keserasian, keharmonian dan kesepaduan dalam menyampaikan mesej melalui alunan nasyid.
Persembahan tersebut bukan sahaja menceriakan suasana majlis, malah menjadi medium dakwah yang menyampaikan mesej kerohanian, kasih sayang dan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui seni.
Selain itu, program turut diisi dengan selawat beramai-ramai dan bacaan doa, sekali gus mewujudkan suasana penuh penghayatan serta memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga MBI.
Sambutan ini juga menjadi platform untuk memperkukuh nilai-nilai murni seperti amanah, integriti, ihsan, saling menghormati, disiplin dan semangat kebersamaan, selaras dengan usaha MBI untuk melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cekap dan profesional, malah memiliki nilai serta sahsiah terpuji dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Melalui penghayatan terhadap ajaran serta akhlak Rasulullah SAW, warga MBI diharap dapat terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berorientasikan kepentingan rakyat.
MBI berharap penganjuran Majlis Sambutan Maulidur Rasul ini dapat terus memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga organisasi serta menyemarakkan semangat untuk mencontohi sifat-sifat terpuji Rasulullah SAW, seterusnya membentuk sebuah organisasi yang lebih cemerlang, berintegriti, harmoni dan prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.