Ipoh, 31 Oktober 2025-Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bercadang untuk membangunkan Pelan Strategik yang komprehensif berkaitan Perancangan dan Persediaan Bencana bagi Bandaraya Ipoh dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia.
Inisiatif ini bakal menjadi asas kepada pembangunan bandar yang lebih tahan bencana, sistematik dan mampan, seiring dengan matlamat menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang selamat dan berdaya tahan terhadap risiko bencana selaras dengan Dasar Disaster Risk Reduction (DRR) negara.
YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, menyatakan demikian dalam ucapan aluan beliau sempena Majlis Makan Malam bagi meraikan delegasi Bahagian Perancangan & Persediaan Bencana, NADMA Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh malam ini.
Menurut beliau, kerjasama strategik ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan bandar raya terhadap ancaman bencana semula jadi dan buatan manusia.
“Majlis Bandaraya Ipoh amat berbesar hati menerima kunjungan rasmi delegasi NADMA. Diharapkan lebih banyak program serta kolaborasi bersama dapat diadakan di Bandaraya Ipoh pada masa hadapan, yang bukan sahaja memberi manfaat dari aspek pengurusan bencana tetapi turut merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan,” ujar beliau.
Delegasi NADMA diketuai oleh YBhg. Encik Ahmad Rajiun bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan & Persediaan Bencana (Dasar) NADMA, yang hadir mewakili Ketua Pengarah NADMA Malaysia, bersama barisan pegawai kanan agensi tersebut.
Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni itu turut diisi dengan sesi ramah mesra serta jamuan makan malam bagi mengeratkan hubungan dua hala antara MBI dan NADMA.
Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh jaringan strategik antara kerajaan tempatan dan agensi pengurusan bencana peringkat nasional, sekali gus memastikan Bandaraya Ipoh sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana pada masa hadapan.