IPOH, 3 Februari 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah melaksanakan Sesi Pengujian dan Penyerahan Sistem CCTV bagi Pelan Tindakan Pemulihan Kawasan Blackspot, Program Bandar Selamat 2025 di Pekan Jelapang, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh keselamatan komuniti bandar.
Sesi ini telah dimulakan dengan ucapan oleh Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya , yang menegaskan komitmen MBI dalam melaksanakan pendekatan berasaskan data dan kerjasama strategik antara pelbagai agensi bagi menangani isu keselamatan awam secara holistik dan berkesan, diikuti dengan pembentangan mengenai Laporan Siap Program Bandar Selamat 2025 oleh Puan Anis Zulaikha binti Ahmad Kamal, Penolong Pengarah Perancangan Bandar serta Encik Izdihar Niszar Syafiq bin Sarlan, Penolong Pengarah Kanan Kerja Awam.
Turut sama hadir pada Sesi Pengujian dan Penyerahan Sistem CCTV ini ialah YB Encik Cheah Pou Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang serta Encik Twoon Kok Kay, Ahli Majlis MBI.
Berdasarkan analisis statistik jenayah indeks bagi tempoh 2020 hingga 2025, Pekan Jelapang dikenal pasti sebagai antara kawasan berisiko tinggi, sekali gus memerlukan intervensi yang lebih tersusun melalui pelaksanaan teknologi pemantauan pintar. Sehubungan itu, pemasangan Sistem Litar Tertutup Televisyen (CCTV) ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dan strategik dalam menyokong usaha pencegahan jenayah.
Sistem CCTV yang dipasang merangkumi ciri pemantauan visual berdefinisi tinggi, liputan lokasi strategik serta keupayaan rakaman berterusan yang membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih sistematik. Sistem ini juga berperanan sebagai sokongan kepada tindakan penguatkuasaan, siasatan dan tindak balas pantas oleh pihak MBI dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, Sesi ini turut melibatkan taklimat teknikal serta pra tonton fungsi dan aplikasi sistem CCTV, bagi memastikan kefahaman menyeluruh terhadap keupayaan sistem, tahap kesiapsiagaan operasi serta pematuhan kepada spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan sistem ini adalah hasil kerjasama erat antara Majlis Bandaraya Ipoh, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Negeri Perak, Jabatan Imigresen Perak, Jabatan Kebajikan Negeri Perak, agensi-agensi teknikal serta wakil komuniti setempat termasuk Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak (Cawangan Daerah Kinta).
Majlis Bandaraya Ipoh yakin bahawa pelaksanaan sistem CCTV ini akan menyumbang kepada pengurangan risiko jenayah, meningkatkan rasa selamat dalam kalangan penduduk dan peniaga, serta mengukuhkan keyakinan awam terhadap pengurusan keselamatan bandar.
Kejayaan pelaksanaan di Pekan Jelapang ini juga akan dijadikan penanda aras bagi peluasan Program Bandar Selamat ke kawasan lain di Bandaraya Ipoh pada masa hadapan.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera demi kesejahteraan dan kualiti hidup warga bandar.