Ipoh, 15 September 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkukuh pendekatan libat urus bersama komuniti apabila mengadakan sesi perbincangan bersama pemaju, Badan Pengurusan Bersama (JMB), ejen pengurusan serta pemilik petak Skim Pemajuan Strata Kinta Riverfront Hotel & Suites.
Sesi tersebut dihadiri kira-kira 150 orang yang mewakili pelbagai pihak berkepentingan dalam skim pemajuan berkenaan.
MBI diwakili oleh YBhg. Clr. Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh, bersama Encik Ikhwan Syafieq bin Mohd Sarwani, Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Ipoh.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan unit, pegawai kanan serta wakil jabatan MBI yang memberikan komitmen sepenuhnya dalam meneliti isu yang dibangkitkan serta memberikan pandangan, penjelasan dan nasihat berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
Sesi libat urus ini merupakan antara usaha proaktif MBI dalam mendengar secara langsung permasalahan yang dihadapi komuniti strata, khususnya berkaitan pengurusan skim, kemudahan bersama dan isu tempat letak kenderaan, selain mengenal pasti langkah penyelesaian yang praktikal dan boleh dilaksanakan.
Melalui sesi tersebut, semua pihak diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan, penjelasan serta cadangan secara terbuka bagi memastikan setiap isu dapat diperhalusi secara menyeluruh dan adil.
MBI memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam membantu semua pihak mencapai penyelesaian yang terbaik, dengan mengambil kira kepentingan pemilik, tanggungjawab badan pengurusan, obligasi pemaju serta keperluan untuk mematuhi peruntukan undang-undang dan peraturan berkaitan pengurusan strata.
Pendekatan secara rundingan dan kerjasama ini penting bagi mengelakkan isu berpanjangan serta memastikan keharmonian, keselamatan dan keselesaan komuniti di kawasan pemajuan strata berkenaan terus terpelihara.
MBI sentiasa komited untuk memastikan setiap aduan dan isu yang berada dalam bidang kuasa Majlis ditangani secara profesional, telus dan berhemah selaras dengan aspirasi untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran yang responsif serta mengutamakan kesejahteraan warga bandar raya Ipoh.
Sesi libat urus tersebut berlangsung dalam suasana yang positif dan konstruktif sebelum berakhir kira-kira jam 1.00 petang.
#MBIBersamaKintaRiverfront#AduanTempatLetakKenderaan#PengurusanStrata#MBIPrihatin#IpohBestariSejahtera