Aktiviti & Berita

MBI PERUNTUK RM30 JUTA SETAHUN UNTUK KOS PELUPUSAN SISA PEPEJAL DI SELURUH KAWASAN OPERASI

IPOH, 1 November 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan sebanyak RM30 juta setahun bagi menampung kos pelupusan sisa pepejal di seluruh kawasan operasi MBI. Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan pihak MBI dalam merealisasikan aspirasi Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera.

Sebagai kesinambungan usaha tersebut, MBI telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Life Line Clothing (M) Sdn. Bhd. bagi melaksanakan Program Penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai di stesen minyak Shell sekitar Bandaraya Ipoh. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Local Agenda 21 Tahun 2025.

Majlis pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang turut menyampaikan ucapan perasmian.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Majlis, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak (Setiausaha Bandaraya), Ketua-ketua Jabatan dan Unit MBI, Puan Rukiah binti Rahman (Pengurus Akaun Jabatan Kerajaan, Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd.), Encik Bahakhi bin Mohammad (Pengurus Stesen Shell Bahakhi Petromart), Mr. Dale Warren (Ketua Pegawai Eksekutif, Life Line Clothing (M) Sdn. Bhd.), Mrs. Mandy Gondaara (Mrs. Earth Malaysia 2025), wakil pengurusan Shell, serta rakan-rakan media.

Dalam ucapannya, Datuk Bandar menegaskan bahawa program ini sejajar dengan komitmen MBI untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Pintar dan Rendah Karbon menjelang 2030, selaras dengan pelaksanaan “Ipoh Doughnut Economics: A City Portrait in Action (2025–2030)” yang telah dilancarkan pada Ogos 2025 sempena ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF).

“Ekonomi kitaran bermaksud penggunaan semula dan pengitaran bahan secara maksimum sebelum ia dilupuskan. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pencemaran dan pelepasan gas rumah hijau, malah membantu membina ekosistem ekonomi yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.

Program ini turut menyokong pelaksanaan Strategi Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (Integrated Waste Management Strategy) di bawah pelan tindakan bandaraya, yang menekankan penglibatan aktif sektor swasta dan komuniti dalam memperkukuh amalan ekonomi kitaran.

Setakat ini, Life Line Clothing (M) Sdn. Bhd. telah menempatkan 35 tong kitar semula pakaian terpakai di kawasan pentadbiran MBI, termasuk di 9 stesen minyak Shell, pasar raya, kawasan perumahan dan sekolah.

Dari Jun hingga Oktober 2025, sebanyak 53,822 kilogram tekstil pakaian terpakai telah berjaya dikitar semula hasil kerjasama strategik pelbagai pihak — satu pencapaian yang amat membanggakan.

Pelaksanaan program ini juga sejajar dengan dasar dan agenda pembangunan mampan negara, termasuk:

1. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) – Mencapai kadar kitar semula kebangsaan 40% menjelang 2025;

2. Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

3. Dasar Kebersihan Negara – Memperkukuh amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle); dan

4. Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (2025–2035) – Memaksimumkan kecekapan sumber dan meminimumkan penjanaan sisa.

Dalam majlis yang sama, Datuk Bandar turut mengumumkan bahawa Life Line Clothing (M) Sdn. Bhd. kini merupakan rakan strategik kelima MBI di bawah Program Ekonomi Kitaran, selepas kerjasama bersama:

1. Edsha Solution Sdn. Bhd. – e-waste;

2. Biovisma Sdn. Bhd. – minyak masak terpakai;

3. Tetra Pak (M) Sdn. Bhd. – kotak minuman terpakai; dan

4. Thowlee Recycle Sdn. Bhd. – tayar terpakai.

“Saya amat berbangga dengan inisiatif hari ini kerana ia menunjukkan sinergi antara sektor kerajaan, swasta dan komuniti. Diharapkan usaha ini menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain untuk bersama-sama menyokong inisiatif kelestarian alam sekitar di Ipoh,” ujar beliau.

Majlis Bandaraya Ipoh turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Shell Bahakhi Petromart selaku tuan rumah, serta kepada Life Line Clothing (M) Sdn. Bhd. atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan program ini.

“Semoga usaha ini menjadi titik tolak ke arah merealisasikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera dan Perak Sejahtera 2030, serta memperkukuh komitmen kita di bawah Doughnut Economic Action Plan untuk menjadikan Ipoh sebuah bandar yang sejahtera dan lestari,” katanya mengakhiri ucapan.

572172773 1214823010670217 5345208554085137927 N
573322308 1214822864003565 5101256413658328880 N
573504552 1214822754003576 5903404600735667564 N
574020598 1214822827336902 2290592691719533058 N
574051001 1214822834003568 6510360120587138899 N
574282797 1214822807336904 1046969653587617691 N
574984342 1214822784003573 4520922896321332192 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 26/06/2026.
  • Jumlah Pelawat 6812573