Ipoh, 11 Februari 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menganjurkan Bengkel Pelan Strategik Pelancongan Bandar Raya Ipoh 2026–2030 sebagai langkah penting merangka hala tuju pembangunan pelancongan Ipoh untuk tempoh lima tahun akan datang.
Bengkel yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya mewakili Datuk Bandar Ipoh, dan menghimpunkan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, persatuan pelancongan, rakan strategik industri serta pemain pelancongan tempatan.
Ia turut dihadiri oleh YDH Toh Amar Pahlawan Dato' Ahmad Hariri bin Kamarudin, Ahli Majlis MBI, YBhg. Datuk Haji Odzman bin Abdul Kadir, Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Encik Muhammad Aminuddin bin Abdul Majid, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Perak dan Ketua Jabatan MBI.
Menurut Setiausaha Bandaraya, bengkel ini merupakan kesinambungan dan terjemahan langsung kepada dapatan daripada Sesi Townhall Pelancongan Bandar Raya Ipoh 2026–2030 yang telah diadakan pada 20 Januari 2026, di mana pelbagai pandangan dan aspirasi pemegang taruh telah dikumpulkan.
“Bengkel ini menjadi medan penting untuk memperhalusi dapatan tersebut secara lebih tersusun, strategik dan berfokus ke arah pelaksanaan yang berimpak tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor pelancongan kini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sosial, pemerkasaan komuniti, pemeliharaan warisan serta pembinaan identiti bandar.
Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, pembangunan pelancongan Ipoh perlu berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, agar manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat dan generasi akan datang.
Dalam masa yang sama, pelaksanaan pelan strategik ini turut mendukung agenda Perak Sejahtera 2030, khususnya penekanan kepada gastronomi dan pelancongan bandar warisan yang memelihara keunikan sejarah, biodiversiti serta khazanah budaya negeri.
Bengkel ini memberi fokus kepada empat (4) kluster utama yang akan menjadi tunjang kepada Pelan Strategik Pelancongan Bandar Raya Ipoh 2026–2030, iaitu:
Pertama:Dasar Pelancongan diterajui oleh persatuan pelancongan bagi memastikan dasar yang dirangka relevan, inklusif dan menepati keperluan industri.
Kedua:Program Pelancongan diterajui oleh Tourism Perak dengan penekanan kepada pembangunan program berimpak tinggi serta penglibatan komuniti.
Ketiga: Promosi Pelancongan diterajui oleh Tourism Malaysia dan Tourism Perak untuk memperkukuh penjenamaan Ipoh secara lebih kreatif dan tersusun.
Keempat: Infrastruktur Pelancongan diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan fokus kepada kemudahan, kebolehcapaian, teknologi dan prasarana.
Setiausaha Bandaraya menyatakan keyakinan bahawa pembahagian peranan yang jelas ini akan menjadikan perancangan pelancongan lebih tersusun, realistik serta berdaya laksana.
MBI turut menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong usaha pembangunan pelancongan melalui pengukuhan promosi tempatan, pemerkasaan kawasan bandar lama, penglibatan komuniti kreatif serta penggunaan teknologi digital untuk meningkatkan pengalaman pelawat dan kualiti hidup warga bandar.
Beliau berharap bengkel ini menjadi medan perbincangan yang terbuka, konstruktif dan berorientasikan penyelesaian bagi memastikan Pelan Strategik Pelancongan Bandar Raya Ipoh 2026–2030 benar-benar berupaya memacu Ipoh sebagai destinasi pelancongan warisan yang sejahtera, mampan dan berdaya saing.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim” oleh Setiausaha Bandaraya.