Ipoh, 21 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kota menerusi pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Inisiatif pemasangan Jalur Gemilang di sekitar bandar raya Ipoh dilaksanakan sebagai usaha menyemai serta memperkukuh semangat cintakan negara, di samping menggalakkan masyarakat dan pemilik premis perniagaan untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.
Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, berkata MBI berharap usaha berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk menzahirkan rasa cinta, bangga dan setia kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman serta premis masing-masing.
“Di peringkat MBI, sebanyak 3,500 helai Jalur Gemilang telah dipasang. Kita berharap semangat ini dapat diperluaskan kepada seluruh masyarakat supaya mereka turut bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.
“MBI juga telah mengedarkan sebanyak 5,000 surat kepada premis-premis perniagaan bagi menggalakkan mereka mengibarkan Jalur Gemilang. Penglibatan semua pihak diyakini mampu menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan, Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2026 telah berlangsung hari ini di hadapan Dewan Mesyuarat MBI.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah dan turut dihadiri oleh Tuan A'zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya, YBhg. Clr. Dato' Mazlan bin Abd Rahman, Clr Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis serta Ketua-Ketua Jabatan MBI.
Pelaksanaan kempen ini mencerminkan semangat kerjasama erat antara MBI, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memupuk rasa cinta kepada negara, selain menggalakkan penyertaan yang lebih menyeluruh daripada masyarakat dan sektor perniagaan dalam menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Antara pengisian majlis ialah penyerahan simbolik Jalur Gemilang kepada Kontinjen Kawad MBI, diikuti lintas hormat Kontinjen Kawad Kaki MBI, serta penyerahan Jalur Gemilang kepada Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan dan kenderaan rasmi MBI.
MBI berharap Kempen Kibar Jalur Gemilang ini dapat terus menyemarakkan semangat cintakan negara, memperkukuh rasa bangga sebagai rakyat Malaysia serta menggalakkan lebih ramai warga Ipoh untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Usaha ini juga diharap dapat menyemai kesedaran bahawa pengibaran Jalur Gemilang bukan sekadar simbolik sempena Sambutan Bulan Kebangsaan, sebaliknya merupakan manifestasi rasa syukur, semangat kebersamaan, patriotisme dan kecintaan rakyat terhadap tanah air.