Genting Highlands, 10 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus melakar pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan Public Service Excellence Recognition sempena Waste Management Association of Malaysia (WMAM) Annual Conference 2026 yang berlangsung di Genting Highlands.
WMAM Annual Conference merupakan persidangan tahunan yang menghimpunkan pakar, pemain industri, agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan tapak pelupusan.
Persidangan berkenaan menjadi platform penting bagi perkongsian kepakaran, pengalaman, amalan terbaik serta perkembangan teknologi terkini dalam industri pengurusan sisa. Pada masa yang sama, ia turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan dan kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta dalam memperkukuh ekosistem pengurusan sisa yang lebih mampan.
Pengiktirafan yang diterima MBI mencerminkan komitmen berterusan serta penglibatan aktif Majlis dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, khususnya melalui penerapan teknologi, pengukuhan tadbir urus serta peningkatan kecekapan pengurusan tapak pelupusan sanitari.
Usaha tersebut turut diperkasakan menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Selekta Spektra Sdn. Bhd. dan Teraju Sepadu Sdn. Bhd., khususnya dalam menyokong pelaksanaan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, sistematik dan mampan.
Ir. Ts. Haji Arif bin Mohd Zainudin, Pengarah Kerja Awam MBI, telah mewakili YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bagi menerima pengiktirafan tersebut dalam majlis penganugerahan berkenaan.
Turut hadir ialah Ir. Ts. Hajah Nur Aifa Farihah binti Mad Nor, Penolong Pengarah Kanan Kerja Awam (Projek Khas) MBI.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selekta Spektra Sdn. Bhd., Puan Eliza Lee, serta Pengarah Eksekutif Teraju Sepadu Sdn. Bhd., Encik Michael Ng, selaku rakan strategik yang bersama-sama menyokong usaha penambahbaikan dan pemerkasaan pengurusan sisa pepejal serta tapak pelupusan sanitari di bawah seliaan MBI.
Pencapaian ini menjadi satu lagi pemangkin kepada MBI untuk terus memperkukuh kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. MBI akan terus memperluas jalinan kerjasama strategik, meneroka penggunaan teknologi baharu serta menambah baik amalan pengurusan sisa pepejal sejajar dengan aspirasi untuk merealisasikan Bandar Raya Ipoh yang lebih bersih, mampan dan berdaya huni.
#MajlisBandarayaIpoh #MBI #WMAM2026 #WasteManagement #PengurusanSisaPepejal #TapakPelupusanSanitari #Sustainability