Ipoh, 12 September 2026– Pasukan Boling Padang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Lawn Bowls KBS Masters 2026 selepas menewaskan pasukan FBC dengan keputusan 5–4 dalam aksi final yang sengit dan penuh mendebarkan.
Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berlangsung di Arena Lawn Bowls Perak, Kompleks Sukan Ipoh itu menyaksikan pasukan MBI tampil penuh keyakinan, disiplin dan semangat juang tinggi sepanjang saingan.
Dalam perlawanan akhir, kedua-dua pasukan memberikan tentangan sengit sebelum MBI berjaya memastikan kemenangan tipis 5–4, sekali gus mengesahkan gelaran juara dan membawa pulang kejayaan yang cukup bermakna buat seluruh warga Majlis Bandaraya Ipoh.
Pasukan MBI diwakili oleh Nur Fidrah binti Noh, Azlan bin Mahamud, Abdul Rashid bin Abdul Talib, Muhammad Hafizan bin Muhammad Hassan dan Shahril bin Sabri.
Kemenangan ini mencerminkan kekuatan semangat berpasukan, ketahanan mental serta komitmen tinggi para pemain dalam menghadapi setiap cabaran sehingga ke peringkat akhir.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan atas kejayaan cemerlang tersebut.
Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama MBI dalam arena sukan boling padang, malah membuktikan bahawa warga Majlis sentiasa berupaya mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang menerusi semangat, disiplin dan kesungguhan yang tinggi.
Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga MBI untuk terus melakar pencapaian lebih gemilang serta membawa nama Majlis Bandaraya Ipoh ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.