Ipoh, 30 Ogos 2026 – YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan hari ini menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Struktur Bangunan Wisma Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP).
Ketibaan Menteri Besar Perak disambut oleh YBhg. Datuk Kwan Foh Kwai, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP), sebelum beliau berjalan kaki melalui kawasan Pasar Karat sejauh kira-kira 200 meter sambil mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai.
Setibanya di persimpangan Jalan Teh Hawa, beliau kemudiannya menaiki beca menuju ke tapak majlis sebagai sebahagian daripada pengisian program yang turut menyemarakkan semangat patriotisme bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan.
Kemuncak program menyaksikan YAB Dato’ Seri Saarani bersama tetamu kehormat dan penyumbang menyempurnakan simbolik penyempurnaan struktur Bangunan Wisma DPCP di tingkat paling atas bangunan berkenaan.
Upacara tersebut dilaksanakan dengan menuang simen ke dalam ruang yang disediakan di atas bumbung sebagai simbolik menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembinaan Wisma DPCP.
Menteri Besar Perak bersama tetamu kemudiannya turut meninjau perkembangan serta kerja-kerja pembinaan Wisma DPCP.
YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh turut hadir pada majlis berkenaan, bersama YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YB Tuan Woo Kah Leong, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Negeri Perak serta kepimpinan dan ahli Dewan Perhimpunan Cina Perak.
Pembinaan Wisma DPCP merupakan satu usaha penting dalam menyediakan kemudahan dan ruang yang lebih baik bagi menyokong aktiviti pertubuhan serta memperkukuh peranan DPCP dalam pembangunan komuniti dan masyarakat di negeri Perak.