Ipoh, 19 Jun 2025 - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan satu Operasi Bersepadu Penghapusan Kacau Ganggu di sebuah premis kediaman susulan aduan berterusan berkaitan pengumpulan barangan kitar semula dan longgokan sampah sarap.
Operasi kali ke-5 ini diketuai oleh YBhg. Clr. En. Lam Yew Tact, Ahli Majlis serta Tuan Syahrul ‘Azrin bin Ghazali, Penasihat Undang-Undang Bandaraya dengan kehadiran wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tuan Syed Abdul Halim Hilmy bin Syed Omar.
Sejak tahun 2020, pihak Majlis telah menjalankan lima (5) kali operasi penghapusan kacau ganggu dan dua (2) tindakan mahkamah terhadap pemilik premis, seorang warga emas berumur 71 tahun. Namun begitu, beliau masih meneruskan aktiviti pengumpulan barangan kitar semula yang disimpan di halaman rumah sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada komuniti setempat.
Bagi operasi kali ini, penglibatan JKM merupakan inisiatif tambahan bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan dan berperikemanusiaan, khususnya bagi membantu warga emas tersebut agar tidak terus mencemarkan imej kawasan persekitaran dan bandaraya secara keseluruhan.
Operasi bermula pada jam 9.00 pagi dengan kekuatan 26 anggota MBI dan 9 anggota serta sukarelawan JKM, dan telah dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang insiden. Pemilik premis turut memberikan kerjasama penuh kepada pasukan operasi.
Sebanyak tiga (3) buah lori berkapasiti lima tan telah digunakan bagi melupuskan sisa ke tapak pelupusan, manakala barangan yang masih boleh dikitar semula telah dikumpul dan dijual dengan bantuan sukarelawan JKM. Hasil jualan tersebut telah diserahkan kepada warga emas terbabit sebagai salah satu bentuk sokongan kebajikan.
Majlis berharap pendekatan bersepadu sebegini dapat menjadi contoh dalam menangani isu sosial berasaskan aduan awam secara holistik – dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas serta pendekatan kebajikan yang berhemah.