Ipoh, 7 April 2026 - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan Operasi Meroboh Struktur Binaan Tanpa Kelulusan Fasa 1 Tahun 2026 pada hari ini melibatkan empat (4) lokasi struktur binaan jenis ‘boom gate’ atau halangan yang didirikan di atas rizab jalan bagi tujuan mengawal akses masuk ke kawasan perumahan dalam kawasan pentadbiran MBI.
Untuk makluman, pelaksanaan operasi ini adalah selaras dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan, iaitu melalui pengeluaran Notis Roboh di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Notis tersebut memberikan tempoh pematuhan selama tiga puluh (30) hari kepada pihak terlibat. Walau bagaimanapun, lanjutan tempoh pematuhan boleh dipertimbangkan oleh pihak MBI berdasarkan kes tertentu.
Operasi ini melibatkan kekuatan anggota seramai kira-kira 80 orang, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Operasi meroboh telah bermula pada jam 9.00 pagi dan selesai kira-kira pada jam 11.00 pagi.