Aktiviti & Berita

OPERASI PEMERIKSAAN DAN SITAAN MAKANAN BAGI BULAN JANUARI 2026 (OPS PERAYAAN – TAHUN BARU CINA) DI KAWASAN MAJLIS BANDARAYA IPOH

  • Utama
  • Pusat Media
  • Aktiviti & Berita
  • OPERASI PEMERIKSAAN DAN SITAAN MAKANAN BAGI BULAN JANUARI 2026 (OPS PERAYAAN – TAHUN BARU CINA) DI KAWASAN MAJLIS BANDARAYA IPOH
Ipoh, 31 Januari 2026 – Unit Establisymen & Keselamatan Makanan, Jabatan Kesihatan Awam & Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan Operasi Pemeriksaan dan Sitaan Makanan Siri 04/2026 di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh. Operasi ini dijalankan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, selaras dengan persiapan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina yang bakal diraikan pada Februari 2026.

Objektif utama operasi ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis makanan mengenai kepentingan kebersihan persekitaran serta memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan sentiasa terpelihara. Selain itu, operasi ini turut bertujuan memantau keselamatan produk makanan yang berada di pasaran agar selamat untuk pengguna.

Fokus pemeriksaan operasi ini adalah tertumpu kepada perkara-perkara berikut:

1.Produk makanan berbungkus tanpa label lengkap seperti jenis makanan, nama dan alamat pengeluar, tarikh luput serta maklumat nutrisi;

2.Produk makanan dalam tin yang rosak, kemek atau berkarat;

3.Produk makanan yang telah melepasi tarikh tamat tempoh;

4.Produk makanan yang tidak sesuai dimakan, termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan yang layu atau rosak.

Dalam operasi ini, sebanyak enam (6) buah premis makanan telah diperiksa, melibatkan perniagaan jenis kedai runcit dan pasar raya. Hasil pemeriksaan mendapati 168 jenis produk makanan telah dirampas dan disita dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,686.32.

Secara keseluruhan bagi bulan Januari 2026, sebanyak 22 buah premis makanan telah diperiksa melalui Operasi Pemeriksaan dan Sitaan Makanan, dengan jumlah sitaan sebanyak 1,199 jenis produk makanan bernilai RM10,787.58.

Antara kesalahan dan kerosakan produk makanan yang dikenal pasti ialah 151 bungkusan produk makanan didapati rosak dan kemek, manakala 10 jenis produk makanan telah melepasi tarikh tamat tempoh seperti yang tertera pada bungkusan. Selain itu, sebanyak 1,038 jenis produk makanan gagal mematuhi piawaian pelabelan yang ditetapkan di bawah akta dan peraturan berkaitan serta tidak memenuhi Syarat-Syarat Pelesenan Majlis Bandaraya Ipoh.

Sehubungan itu, sebanyak 10 tawaran kompaun dengan jumlah keseluruhan RM7,750.00 telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017. Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan sepanjang tahun, khususnya menjelang musim perayaan utama di Malaysia.

Majlis berharap agar masyarakat sentiasa peka dan prihatin terhadap keselamatan makanan, memandangkan setiap individu berhak mendapatkan makanan yang selamat, bersih dan berkhasiat.

622653194 1285071220312062 7912175143749232908 N
623166605 1285071213645396 835588206446901560 N
624242130 1285071250312059 175678986377719267 N
625014684 1285071243645393 2673385532530749183 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 26/06/2026.
  • Jumlah Pelawat 6811645