Ipoh, 14 Ogos 2025 (Khamis) – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus mengiktiraf sumbangan tenaga kerja lapangan yang menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan kebersihan dan pengurusan bandar melalui penganugerahan “Reward” kepada anggota berprestasi cemerlang setiap bulan.
Inisiatif yang dicetuskan oleh YBhg. Datuk Bandar Ipoh ini bertujuan meningkatkan motivasi dan semangat kerja dalam kalangan pekerja lapangan, sekaligus memastikan Bandaraya Ipoh sentiasa berada dalam keadaan bersih, indah, dan sejahtera.
Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran merupakan jabatan yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, termasuk kutipan sampah di pasar-pasar awam milik majlis, pusat penjaja, medan selera, pengumpulan sampah domestik luar bandar (PPSD), penyapuan jalan, pembersihan sampah kebun dan pukal, pembersihan sampah haram, serta penyelenggaraan kebersihan di lokasi-lokasi awam.
Pemilihan penerima “Reward” ini tertumpu kepada anggota lapangan dari gred jawatan Pembantu Perkhidmatan Am, Pemandu Kenderaan dan Mandor yang memenuhi syarat-syarat ketat, antaranya bebas daripada tindakan tatatertib, mempunyai rekod kehadiran cemerlang tanpa cuti sakit atau cuti rehat dalam bulan berkenaan, tidak hadir lewat bekerja, dan sentiasa melaksanakan tugas dengan baik. Penilaian akhir ditentukan oleh panel jabatan.
Bagi bulan Julai 2025, seramai lima orang penerima telah dipilih mengikut zon yang ditetapkan, iaitu:
Zon Pekan Lama: Masitah binti Ali (No. Pekerja 12755) dan Azhar bin Saari (No. Pekerja 13706)
Zon Pekan Baru: Hamiza binti Purji (No. Pekerja 14243), Mohamed Sefine bin Mohamed Salleh (No. Pekerja 13709), dan Elizabeth a/p Arul (No. Pekerja 13544)
Setiap penerima menerima Sijil Penghargaan Cemerlang dan wang tunai RM100 yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing. Nama dan gambar penerima turut dipamerkan di lokasi strategik yang sering dikunjungi orang ramai sebagai tanda penghargaan.
YBhg. Datuk Bandar berharap pemberian ini akan menjadi pemangkin semangat kerja kepada anggota lapangan lain, serta mewujudkan persaingan sihat untuk terus memberikan khidmat yang terbaik demi kesejahteraan warga Ipoh.