Ipoh, 25 September 2025 (Khamis) – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperkenalkan inisiatif pemberian penghargaan atau “reward” kepada anggota lapangan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan bulanan. Langkah ini merupakan usaha MBI menghargai sumbangan anggota lapangan di samping mengiktiraf mutu perkhidmatan yang tinggi dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan bandaraya Ipoh.
YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh telah mencetuskan pelaksanaan inisiatif ini dengan tujuan memberi motivasi dan semangat kerja kepada warga lapangan yang menjadi tunjang kepada perkhidmatan teras MBI.
Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja Pengurusan Sisa Pepejal serta Pembersihan Awam. Unit Pengurusan Sisa Pepejal menjalankan kutipan sampah di pasar-pasar awam milik MBI, pusat penjaja, medan selera serta pengumpulan sampah domestik luar bandar (PPSD). Manakala Unit Pembersihan Awam pula melaksanakan kerja-kerja penyapuan jalan, perkhidmatan sampah kebun dan pukal, pembersihan sampah haram serta pembersihan kawasan pasar awam, medan selera dan pusat penjaja.
Bagi memastikan pengiktirafan yang telus, pemilihan penerima “reward” ini dibuat dalam kalangan anggota gred jawatan Pembantu Perkhidmatan Am, Pemandu Kenderaan dan Mandor sahaja. Sebanyak lima (5) orang anggota dipilih setiap bulan daripada zon-zon yang telah ditetapkan.
Antara kriteria pemilihan ialah anggota dalam perkhidmatan awam Gred H1 yang tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib, mempunyai rekod kehadiran kerja yang baik tanpa cuti sakit atau cuti rehat pada bulan berkenaan, tidak hadir lewat, melaksanakan tugasan dengan cemerlang serta lulus penilaian panel jabatan.
Penghargaan yang diberikan merangkumi Sijil Penghargaan Cemerlang, wang tunai RM100 yang dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima, selain nama dan gambar mereka dipamerkan di lokasi strategik pejabat MBI atau kawasan tumpuan orang ramai.
Bagi bulan September 2025, seramai lima (5) orang anggota telah dipilih sebagai penerima “reward” ini iaitu:
1. Shahril Izwan Bin Mohd Nazri (No. Pekerja 14799) – Zon Pusat Bandar
2. Othman Bin Harun (No. Pekerja 12316) – Zon Pusat Bandar
3. Fatimah Binti Ismail (No. Pekerja 12826) – Unit Task Force
4. Michael Raymond A/L Julias (No. Pekerja 15605) – Zon Buntong
5. Mohd Firdaus Bin Mohamad (No. Pekerja 14301) – Zon Cherry
Majlis Bandaraya Ipoh berharap, pemberian “reward” ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan semangat kerja dalam kalangan anggota lapangan, di samping mewujudkan persaingan sihat untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang demi kesejahteraan warga kota.