Ipoh, 8 September 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menerima kunjungan barisan panel penilai Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 bagi sesi penilaian lapangan yang berlangsung di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, yang mengucapkan selamat datang serta penghargaan kepada panel penilai yang diketuai oleh Encik Mazwane Musa (IIM), bersama Prof. Adjung Mohamad Faisal bin Abdul Malik (MIA) dan En. Muhd Amin Alamin bin Salam (NIOSH).
Dalam ucapannya, Datuk Bandar menegaskan bahawa proses penilaian ini bukan sekadar pengiktirafan semata-mata, malah merupakan peluang berharga untuk penambahbaikan tadbir urus organisasi. Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif utama yang telah dilaksanakan oleh MBI, antaranya:
a) Pelan Strategik MBI 2021-2030 sebagai blueprint pembangunan holistik,
b) Pelan Antirasuah Organisasi (ICCACS 2025-2029),
c) Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001:2025,
d) IDEA BAJET MBI yang melibatkan penyertaan warga Ipoh,
e) Inovasi FIN@SHARIAH yang memenangi Pingat Emas MALA 2025,
f) Konsep Ipoh Bandar Ekonomi Donut & Bandaraya Pintar 2030,
g) Sistem MyAduan@MBI yang dibangunkan secara in-house.
Beliau menegaskan komitmen MBI untuk terus memperkukuh integriti, tadbir urus, dan ketelusan demi kesejahteraan rakyat, meskipun berdepan cabaran dari segi sumber manusia, kepakaran, dan persepsi masyarakat.
Majlis ini turut dihadiri oleh Setiausaha Bandaraya, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, bersama ketua-ketua jabatan serta warga kerja MBI.
Sebagai sebahagian daripada sesi lawatan, panel penilai turut dibawa ke Konti Radio dan Studio TV MBI yang menjadi salah satu inisiatif kreatif MBI dalam memperluaskan hebahan serta perkongsian maklumat kepada warga bandaraya Ipoh.