Ipoh, 3 Oktober 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak sekali lagi berentap dalam Pertandingan Bowling Persahabatan yang berlangsung di Ampang Superbowl Ipoh malam tadi.
Pertandingan edisi ketiga ini berjaya menghimpunkan seramai 42 peserta terdiri daripada warga kerja MBI dan kakitangan TNB. Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturrahim, malah turut menjadi platform memperkukuh kerjasama erat antara kedua-dua organisasi, khususnya di peringkat pengurusan dan ketua jabatan.
Selain itu, suasana mesra dan santai yang tercetus sepanjang pertandingan telah meningkatkan lagi semangat kesukanan serta kebersamaan dalam kalangan peserta.
Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh En. Mohd Suhairi bin Mohamad Shah, GM Retail & Stakeholder TNB Perak.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Sr Burhanuddin bin Maamor, Pengarah Penilaian MBI mewakili Datuk Bandar Ipoh, Encik Sharulnizam bin Jaafar, Pengarah Pelesenan MBI, Ir. Ts. Bakri bin Zamri – Lead State Retail Customer, Partner Engagement (Perak), Ir. Ts. Rohaizan bin Shamsuddin – Lead Customer Care (Perak) dan Encik Mohd Toha bin Abdul Manaf – Lead State Retail Partner (Perak).
Dalam perlawanan yang penuh semangat itu, pasukan TNB telah muncul sebagai Johan Keseluruhan dengan catatan jatuhan pin sebanyak 6,863, menewaskan pasukan MBI yang memperoleh 6,485 jatuhan pin.
Para pemenang menerima plak dan hamper, manakala Johan Keseluruhan membawa pulang Piala Pusingan, simbol kejuaraan serta semangat persahabatan yang diharapkan dapat terus diperkukuh dalam penganjuran pada masa akan datang.