Ipoh, 21 Jun 2025 – Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Ipoh ke-37, satu Pertandingan Memancing telah berlangsung meriah di Taman Rekreasi Gunung Lang pada pagi ini dengan penyertaan lebih 150 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh telah menyempurnakan acara pelepasan peserta tepat pada pukul 8.00 pagi sebagai simbolik perasmian pertandingan tersebut. Turut hadir memeriahkan acara ialah Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya serta Ketua-ketua Jabatan di Majlis Bandaraya Ipoh.
Pertandingan ini bukan sahaja diadakan bagi memeriahkan sambutan ulang tahun bandaraya, malah turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh semangat perpaduan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Ipoh.
Majlis Bandaraya Ipoh berharap agar penganjuran aktiviti sebegini akan terus mendapat sambutan dan menjadi antara acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh komuniti setempat sebagai simbol kebersamaan dan kecintaan terhadap bandaraya ini.