Ipoh, 21 Jun 2025 – Sebanyak 34 kumpulan telah menyertai Pertandingan Memasak sempena Karnival Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-37 yang berlangsung meriah di Taman Dr Seenivasagam, Ipoh.
Daripada jumlah tersebut, 23 kumpulan telah mengambil bahagian dalam kategori Menu Masakan Utama, manakala 11 kumpulan bersaing dalam kategori Pencuci Mulut dan Minuman. Pertandingan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Setiap kumpulan diberi masa selama dua (2) jam untuk menyiapkan hidangan mereka yang dinilai berdasarkan kreativiti, rasa, penyampaian serta kebersihan. Pemenang utama bagi setiap kategori telah menerima hadiah berupa wang tunai, trofi, hamper, sijil penyertaan serta barangan tajaan daripada pihak penganjur dan penaja.
Bagi kategori Menu Masakan Utama, pasukan Kuali Ukhti Squad berjaya menewaskan 22 pasukan lain dengan menu yang berjaya menambat hati juri profesional yang dijemput khas bagi pertandingan ini. Pasukan Kuali Onzz berpuas hati di tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Sweet Sisters.
Manakala bagi kategori Pencuci Mulut dan Minuman, pasukan DD Sisters telah dinobatkan sebagai juara kategori ini dengan diikuti oleh pasukan Double A dan pasukan K&B@Maneh yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Pasukan DD Sisters juga telah berjaya memenangi anugerah khas iaitu Dekorasi Terbaik.
Pertandingan ini merupakan antara acara utama dalam Karnival Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh yang berlangsung selama dua hari bermula 21 Jun 2025. Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan termasuk Jualan Rahmah, Pertandingan Picnic Setup Deko, Pertandingan Barista, Pop-Up Market, Pertandingan Sepak Raga Ratus dan Tarik Tali, serta persembahan hiburan Melodi Bandar Raya.
Majlis Bandaraya Ipoh menyeru seluruh warga Ipoh dan orang ramai dari luar kawasan untuk hadir memeriahkan sambutan ulang tahun ini. Pelbagai aktiviti santai, bermanfaat dan mesra keluarga telah disusun bagi memastikan sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-37 diraikan dalam suasana penuh ceria dan perpaduan.