Ipoh, 12 September 2025 - Majlis Bandaraya Ipoh menganjurkan Program “Mencinta Malaysia Madani, Warga Ipoh Disantuni” bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 12 dan 13 September 2025 bertempat di Perpustakaan Tun Razak (PTR), Ipoh.
Program ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada tanah air dalam kalangan masyarakat Ipoh, khususnya generasi muda. Melalui pendekatan pendidikan, kesenian dan kebudayaan, penganjuran ini diharap dapat menyuburkan nilai-nilai Malaysia Madani dalam kehidupan seharian warga kota.
Antara pengisian menarik yang telah diatur ialah:
a) Lawatan khas daripada Tadika Genius Aulad Seri Manjung dan Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Jaya (Pendidikan Khas Intergrasi, Halaman Ampang Mewah),
b) Seramai 128 menyertai pertandingan mewarna, 50 orang mengambil bahagian dlm pertandingan puzzle, 25 orang akan bertanding dalam busana Malaysia pada 13 September 2025 dan 15 orang telah menyertai pertandingan deklamasi sajak Hari Malaysia secara atas talian,
c) Persembahan kompang, nyanyian lagu patriotik dan serta penyampaian hadiah,
d) Pameran warisan, FunZone (permainan tradisional) dan karaoke lagu patriotik untuk semua pengunjung di sepanjang dua hari program berlangsung
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Haji Mazlan bin Abd Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh yang menyampaikan ucapan menyuntik semangat perpaduan kepada para peserta dan cintakan tanah air Malaysia bumi tercinta
Program selama dua hari ini menjadi platform bagi warga Ipoh menzahirkan kecintaan terhadap negara sambil menghayati erti kemerdekaan dan nilai kebersamaan masyarakat majmuk. Dengan tema “Mencinta - Malaysia Madani Warga disantuni”, ia menekankan peri pentingnya rakyat terus bersatu padu membina negara bangsa yang progresif, harmoni dan sejahtera.
MBI menyeru agar semua warga Ipoh memanfaatkan peluang ini dengan menghadiri pelbagai acara yang disediakan sekali gus memperkukuh semangat patriotisme sempena Sambutan Hari Malaysia 2025.