Ipoh, 18 November 2025 – Lebih 200 warga kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hadir dalam sesi bual bicara santai namun sarat dengan pengisian bermakna bertajuk “Dari Rock ke Roh: Sebuah Pencarian Integriti Diri” yang berlangsung di Bilik Gerakan MBI pagi ini.
Program anjuran Unit Integriti MBI itu menampilkan Ustaz Akhil Hayy sebagai panel jemputan, yang berkongsi kisah perjalanan hidup, pengalaman peribadi serta transformasi diri dalam membina integriti, keteguhan prinsip dan jati diri. Pendekatan penyampaian beliau yang santai, bersahaja serta diselitkan elemen motivasi menjadikan sesi tersebut lebih menarik, mudah difahami dan dekat di hati para peserta.
Penganjuran program ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman warga MBI mengenai nilai integriti, amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pembangunan Ipoh Bestari Sejahtera.
Terdahulu, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Minggu Integriti 2025 yang bertemakan “Menyemai Integriti Dalam Setiap Langkah”. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Haji Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI; Ahli-Ahli Majlis; Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya; serta barisan KetuaJabatan dan Ketua Unit MBI.
MBI terus komited memperkasa budaya kerja berintegriti, profesional dan cemerlang melalui penganjuran program pembangunan sahsiah serta pengukuhan nilai etika dalam kalangan warga kerjanya.