Ipoh, 13 September 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menganjurkan Program Cintailah Malaysia bersempena Sambutan Hari Malaysia 2025, bertempat di Amphitheater @ Laman Sejahtera, Taman D.R Seenivasagam, Ipoh.
Program yang berlangsung dari jam 5.00 petang hingga 7.00 petang ini merupakan sebahagian daripada siri program bulanan Jabatan Perkhidmatan Komuniti dan Kemasyarakatan MBI, iaitu satu inisiatif berterusan MBI dalam menghidupkan suasana kebudayaan, memperkukuhkan jati diri serta menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat. Ia turut dihadiri oleh Encik Romzi bin Zamri, Pengarah Komuniti Bandaraya, Majlis Bandaraya Ipoh.
Majlis turut diserikan dengan persembahan khas oleh Kumpulan Gema Warisan Budaya, yang mempersembahkan pelbagai segmen berunsur patriotik, seni dan budaya sejajar dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Penganjuran program ini diharap dapat memberi peluang kepada warga Ipoh untuk terus menghayati erti sebenar kemerdekaan dan Hari Malaysia, di samping menjadikan semangat perpaduan serta rasa cinta kepada tanah air sebagai asas pembangunan bandar dan negara.
Selain menjadi wadah hiburan berteraskan seni budaya, program ini juga berperanan sebagai platform penyatuan rakyat pelbagai kaum melalui semangat patriotisme, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
MBI merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta menyokong penganjuran program ini. Diharapkan wargakota Ipoh akan terus memberi sokongan terhadap aktiviti seumpama ini demi memperkukuhkan keharmonian, perpaduan dan identiti nasional di Bandaraya Ipoh.