Ipoh, 25 Jun 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengadakan sesi penyerahan sijil penyertaan, bunting dan banner kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam Program Jualan Murah Sempena Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38.
Sesi penyerahan ini diadakan sebagai tanda penghargaan MBI kepada pihak syarikat yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program yang memberi manfaat secara langsung kepada warga Kota Ipoh, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan.
Pada sesi tersebut, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh telah menyampaikan sijil penyertaan, bunting dan banner Program Jualan Murah kepada wakil Mydin Mohamed Holdings Berhad, cawangan Meru Raya.
Sementara itu, Tuan A'zman bin Mohd Harun, Setiausaha Bandaraya turut menyampaikan sijil penyertaan, bunting dan banner kepada wakil Billion Shopping Centre (Jelapang) Sdn. Bhd., cawangan Silibin.
Turut menjayakan sesi penyerahan berkenaan ialah Ahli Majlis MBI, Clr. En. Lin Chee Aun, yang telah menyampaikan sijil penyertaan, bunting dan banner kepada wakil The Store (Malaysia) Sdn. Bhd., cawangan Jelapang.
Selain itu, Clr. En. Tang Cheng Wei menyerahkan bahan promosi tersebut kepada wakil HTM Pharmacy, manakala Clr. En. Abdul Rani bin Ahmad menyampaikan sijil penyertaan, bunting dan banner kepada wakil Econsave Cash & Carry Sdn. Bhd., cawangan Tasek.
Pada sesi yang sama, Pengarah Pelesenan Bandaraya turut menyerahkan sijil penyertaan, bunting dan banner kepada wakil Pasar Raya Longwan, cawangan Station 18 serta Syarikat Cold Storage, cawangan Sentra Mall Klebang, sebagai sebahagian daripada rangkaian syarikat yang menyertai program ini.
Program Jualan Murah pada tahun ini mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan tujuh operator syarikat melibatkan 30 cawangan di sekitar kawasan Ipoh.
Penyertaan pelbagai syarikat ini membuktikan komitmen bersama antara pihak berkuasa tempatan dan sektor perniagaan dalam membantu masyarakat memperoleh barangan keperluan pada harga lebih berpatutan, sekali gus menyokong usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Program Jualan Murah Sempena Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 akan berlangsung mulai 26 Jun hingga 3 Julai 2026 di pasar raya dan premis perniagaan yang mengambil bahagian.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir dan merebut peluang menikmati pelbagai tawaran harga istimewa bagi barangan keperluan terpilih sepanjang tempoh program berlangsung.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua syarikat yang terlibat atas kerjasama serta komitmen yang diberikan.
MBI berharap inisiatif seumpama ini dapat terus memberikan manfaat kepada warga Kota Ipoh, di samping mengukuhkan hubungan strategik antara pihak berkuasa tempatan dan sektor perniagaan demi kesejahteraan masyarakat.